Jangan Jadi Pencabul Hak Rakyat – Azis

Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

Bersekongkol dengan penjenayah rentas sempadan dianggap mencabuli hak rakyat Malaysia untuk mendapatkan keselamatan, khususnya di pantai timur Sabah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Katanya, sebagai rakyat yang cintakan negara, seharusnya memastikan kerjasama diberikan kepada agensi keselamatan untuk mengekang kemasukan elemen jenayah ke negara ini.

Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

“Komitmen kerajaan ialah akan melipat ganda kawalan keselamatan, khususnya di pantai timur Sabah.

“Tetapi jangan hanya meletakkan harapan (memelihara keselamatan) pada kerajaan. Rakyat juga perlu memainkan peranan kerana jika berlaku pencerobohan, khususnya di pantai timur ini, yang rugi nanti adalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Karnival Ambang Hari Malaysia di Sandakan malam tadi.

Gambar Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

Menurut Mohd Azis, perbuatan menjadi dalang kepada elemen jenayah membantutkan usaha membangunkan ekonomi di pantai timur negeri, termasuk menarik pelabur dan pelancong yang berupaya merancakkan ekonomi setempat.

Selain itu, beliau turut meminta rakyat memerangi masalah dadah yang semakin berleluasa, khususnya dalam kalangan golongan muda yang berkebolehan untuk menyumbang ke arah kemajuan negara.

Karnival itu diserikan oleh persembahan artis negara dan tempatan seperti bekas pemain gitar kumpulan Wings, Joe bersama PrimeD, Ebi Kornelis, Fiq Mentor, Rubisa Tiasin dan Clarice John Matha.

Harian Metro