Polis Marin Sabah Kenal Pasti Pulau Untuk Dijadikan ‘Check Point’

Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) sedang melihat beberapa pulau di Sabah untuk dijadikan sebagai Pusat Pemeriksaan di Laut (Sea Check Point atau SCP) bagi meningkatkan tugasan mengawal keselamatan di perairan negara.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata langkah itu bagi memantau aktiviti perdagangan tukar barang (barter trade), selain mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Pajeri

“Ini termasuk menjadikan Pulau Bakungan Kecil berdekatan sempadan dengan negara jiran (Filipina) sebagai SCP.

“Pulau-pulau lain yang akan dijadikan sebagai SCP ialah Pulau Karakit di Kudat, Pulau Aada di Lahad Datu, Pulau Sebatik di Tawau dan Pulau Siamil di Semporna,” katanya selepas meninjau operasi PPM Sandakan di perairan, termasuk melawat beberapa pulau berhampiran sempadan semalam.

Mohamad Pajeri berkata PPM akan mengambil alih penugasan menjaga keselamatan perairan negara di Pulau Tabawan, Kunak daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan pulau itu merupakan kawasan strategik dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan berikutan kedudukannya yang berhampiran Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Mengenai keselamatan pelancong di pulau peranginan, beliau berkata PPM sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek itu dengan mengadakan rondaan secara kerap.

Selain itu, Mohamad Pajeri berkata pihaknya mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan pengurusan pulau peranginan dan penduduk setempat bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat dan mengumpul maklumat berguna untuk memantapkan lagi tugas mengawal keselamatan.

Beliau berkata pihaknya juga akan memastikan pergerakan bot pelancong ke pulau peranginan sentiasa dalam keadaan selamat tanpa sebarang gangguan.

Mengenai kegiatan penyeludupan termasuk telur penyu, Mohamad Pajeri berkata PPM sentiasa fokus dalam mengekang penyeludupan yang mana pihaknya telah merampas kira-kira 9,000 telur penyu untuk dijual di pasar Sandakan dan telur haiwan berkenaan kemudian diserahkan kepada Taman Pulau Penyu untuk penetasan.

Pada tinjauan itu, Mohamad Pajeri turut bertemu dengan staf Taman-Taman Sabah di Pulau Selingan, yang menempatkan ibu pejabat Taman Pulau Penyu dan pihak pengurusan sebuah peranginan di Pulau Lankayan serta berkesempatan menyambut sekumpulan pelancong yang tiba di pulau berkenaan.

Beliau juga meninjau Pulau Bakungan Kecil daripada bot ronda PPM yang merupakan pulau paling hampir dengan sempadan negara Filipina.

Selain itu, Mohamad Pajeri berpeluang menyaksikan sebuah bot ronda PPM menahan dan memeriksa sebuah kapal nelayan tempatan yang sedang menarik sebuah lagi kapal nelayan yang rosak ke Sandakan untuk dibaik pulih.

Pemeriksaan ke atas kapal itu, yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah PPM Sandakan DSP Rusdin Banin, mendapati tiada salah laku oleh kapal berkenaan dan kapal itu dinasihati mengambil langkah keselamatan dalam pelayaran ke Sandakan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *