Nelayan Hilang Di Perairan Silam

LAHAD DATU, 13 Sept: Seorang nelayan hari ini dilaporkan hilang di laut selepas keluar memancing di kawasan perairan Silam berdekatan Pulau Burung, dekat sini, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata Ebno Salim, 48 yang juga pemegang dokumen IMM13 dikatakan keluar memancing pada pukul 2.00 petang semalam, sebelum botnya ditemui dalam keadaan enjin masih hidup pagi tadi.

“Pada pukul 7.00 pagi tadi seorang nelayan lain terserempak dengan bot itu yang enjinnya masih hidup di Pulau Burung, namun Ebno tidak kelihatan di mana-mana. Laporan kehilangan dibuat pada pukul 12.28 tengah hari tadi di Balai Polis Daerah Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Nasri berkata Ebno tinggal bersama isteri dan lapan anaknya di Kampung Silam Kem di sini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *