Karnival Gegar Keningau Berjaya Promosi Pelancongan Di Pedalaman

Foto BERNAMA

KENINGAU, 13 Sept: Karnival Gegar Keningau yang dilancarkan sejak tiga tahun lepas berjaya menarik 10,000 pengunjung datang ke daerah ini setiap kali karnival itu diadakan sekali gus mempromosi Keningau sebagai destinasi pelancongan di kawasan pedalaman.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata ini membuktikan program anjuran bersama Kelab Belia Keningau dengan Pejabat Daerah Keningau itu amat berkesan dan perlu diteruskan.

Beliau berkata demikian pada perasmian karnival berkenaan sempena sambutan Hari Malaysia 2019 di sini malam tadi. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis.

Pelbagai aktiviti diadakan pada karnival yang berlangsung di Padang Bandaran Keningau hingga 16 Sept ini antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan beyblade kanak-kanak, pertandingan kugiran, pertandingan gusti lengan dan pertandingan tarian etnik kreatif.

Beliau berkata sebanyak 24 jabatan dan agensi kerajaan turut membuka gerai masing-masing bagi menyalurkan perkhidmatan kepada orang ramai selain hampir 100 usahawan tempatan turut mempromosi dan menjual produk mereka pada karnival itu.

Dalam pada itu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap mempelawa badan-badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini supaya turun padang membantu kerajaan dalam mempromosi program yang memberi manfaat kepada rakyat.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *