Polis Kota Kinabalu Tumpaskan ‘Geng Afiq’ Terlibat Kes Curi Motosikal

George bersama pegawai menunjukkan motosikal yang dirampas susulan penahanan lapan anggota Geng Afiq. Foto Bernama

KOTA KINABALU, 12 Sept: Polis di sini menumpaskan ‘Geng Afiq’ yang disyaki terlibat kes curi motosikal dengan tertangkapnya lapan lelaki termasuk ketua kumpulan, seorang remaja berusia 17 tahun.

Turut dirampas adalah 13 motosikal dengan 10 daripada motosikal itu jenis Honda EX5 dan beberapa bahagian motosikal.  

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt George Rakhman berkata tiga lagi yang ditahan adalah remaja bawah umur dengan dua orang berusia 15 tahun dan seorang lagi 16 tahun dengan kesemua mereka adalah rakyat tempatan.

Empat lagi yang ditahan adalah warganegara asing tiada dokumen pengenalan diri, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya Polis Kota Kinabalu menubuhkan satu pasukan khas selepas menerima laporan kes kehilangan sebuah motosikal di kawasan Wisma Sabah di ibu negeri oleh seorang pengusaha sewa motosikal pada 15 Julai lepas.

Katanya siri tangkapan pertama membabitkan perancang utama iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun itu bersama pembantunya berusia 16 tahun pada 5 Sept lepas di daerah ini.

Menurutnya hasil soal siasat, polis membuat tangkapan kedua sehari selepas itu melibatkan empat lelaki di daerah ini, Penampang dan papar.

Pada hari berikutnya, polis menangkap dua lagi lelaki di daerah ini menjadikan keseluruhan yang ditangkap lapan orang, katanya.

Beliau berkata enam orang yang ditahan itu memainkan peranan untuk melupuskan bahagian badan motosikal sebelum dijual kepada mereka yang berminat.

George berkata 10 motosikal yang dirampas itu dilaporkan hilang di daerah ini dan tiga lagi di Kota Kinabalu dengan nilai rampasan berjumlah RM40,000 termasuk bahagian badan motosikal.

Katanya geng ini bergiat aktif sejak awal tahun ini dan menyasarkan motosikal jenis Honda EX5.

Beliau berkata kesemua mereka masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.      

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *