Parlimen Kimanis: “Warisan Yang Kerja Keras, Kenapa BERSATU Pula Mahu Kutip Hasil?”

KOTA KINABALU: Wira Warisan Sabah mempersoal kewajaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabah yang telah menyatakan hasrat untuk meletakkan calon mereka jika Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis dilangsungkan.

Timbalan Ketuanya, Mohd. Ismail Ayob berkata, selepas jentera Parti Warisan Sabah bekerja keras di mahkamah, kenapa tiba-tiba sahaja pemimpin Bersatu Sabah tampil seperti mahu memungut hasil daripada perjuangan orang lain.

Katanya, pemimpin Bersatu Sabah juga perlu sedar diri bahawa mereka adalah bekas pemimpin UMNO yang menjadi lawan Warisan di Parlimen Kimanis dalam pilihan raya umum lalu.

“Bersatu Sabah sepatutnya menunjukkan keikhlasan mereka dengan memberikan sokongan penuh kepada calon Warisan yang akan bertanding di Kimanis kelak sebagai bukti kehadian mereka di Sabah adalah untuk membantu kerajaan yang ditunjangi Warisan di negeri Sabah,” katanya kepada Borneo Today hari ini.

ISMAIL AYOB

Semalam, Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor seperti dilaporkan berkata, parti itu mempunyai beberapa calon yang layak untuk bertanding bagi memastikan kerusi itu milik Pakatan Harapan (PH).

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas calon UMNO, Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis selepas disahkan wujud perlanggaran undang-undang pilihan raya.

Keputusan tersebut susulan petisyen dikemukakan calon Warisan di kerusi itu, Datuk Karim Bujang bagi mencabar kemenangan Anifah.

Dalam pilihan raya umum tahun lalu, Anifah yang merupakan penyandang kerusi itu menang dengan majoriti 156 undi selepas memperoleh 11,942 undi manakala Karim sebanyak 11,786 undi.

Mohd. Ismail berkata, Karim adalah calon terbaik Warisan untuk bertanding di kerusi itu bukan sahaja kerana sokongan padu yang diterima tetapi juga atas usaha beliau di mahkamah.

“Kerusi itu kosong kerana Datuk Karim Bujang yang membawa kes itu ke mahkamah setelah merasakan perjalanan pilihan raya yang lepas di Parlimen Kimanis dicemari dengan penipuan.

“Datuk Karim telah berusaha mengemukakan bukti-bukti, melantik peguam, membuang banyak masa turun dan naik mahkamah untuk membuktikan bahawa terdapat penipuan dalam perjalanan pilihan raya lepas dan akhirnya segala usaha jentera guaman parti Warisan terbukti berhasil,” katanya.

BorneoToday