Kerajaan Sabah Tidak Lagi Membenarkan Mesin Slot Beroperasi Di Seluruh Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju untuk tidak meneruskan pembaharuan lesen slot mesin di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, keputusan itu diambil selepas beberapa kajian serta maklum balas awam dilakukan, bahawa aktiviti judi sangat memudaratkan kepada masyarakat Sabah.

“Kabinet sudah memutuskan perkara ini beberapa bulan lepas, selepas itu kita tidak lagi keluarkan lesen kepada premis untuk mengoperasikan mesin slot.

“Kena difahami, walaupun lesen berkenaan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Pusat, tetapi untuk menjalankan perniagaan itu, ia di bawah kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP),” katanya ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Seminar Strengthening and Restructuring The Critical and Core Institutions of Democracy in Malaysia from The Perspective of Sabah, di sini.

Beliau berkata, kini kerajaan Sabah tidak lagi membenarkan mesin slot beroperasi di kesemua pihak berkuasa tempatan di Sabah.

Katanya, perkara itu sudah diputuskan dan surat pekeliling juga telah disampaikan kepada semua PBT yang mempunyai premis operasi mesin slot.

“Cuma yang ada kini, lesen yang belum tamat, seperti sekiranya ia tamat pada hujung 2019, maka selepas tamatnya nanti kita tidak akan memperbaharui lesen berkenaan.

“Perkara ini memudaratkan masyarakat kita, terdapat dalam kalangan yang ketagih dengan perjudian ini sehingga menyebabkan penceraian dalam keluarga, harta dilelong dan sebagainya,” katanya.

Jaujan yang juga Menteri KKTP berkata, melihat kepada perkara berkenaan, Kerajaan Sabah mengambil keputusan untuk menghentikan aktiviti berkenaan.

Katanya, sehingga kini terdapat lebih 70 lesen mesin slot dikeluarkan di negeri ini dan Sabah antara negeri yang membenarkan aktiviti perjudian itu diadakan secara meluas.

“Kita perlu mematuhi undang-undang ini… yang penting kita bersama-sama menjaga masyarakat kita… jangan ada sampai bergadai harta dan bercerai akibat gelaja negatif itu.

“Ini menjadi agenda kita bagi memastikan rakyat Sabah berada dalam keadaan baik, perniagaan ini pun tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Peniaga sahaja mungkin untung dan mereka yang suka kepada aktiviti ini tidak mendapat faedah.

“Keputusan diambil adalah demi kebaikan semua, peniaga tidak rugi sebab banyak lagi peluang perniagaan yang mampu mereka ceburi asalkan tidak memudaratkan masyarakat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *