Warga Asing Ditahan Sembunyi Petrol Dalam Hutan Bakau

Minyak petrol yang dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) susulan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan hutan bakau, Pulau Bohey Dulang di Semporna. – Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

SEMPORNA: Bekalan petrol dibawa sedikit demi sedikit dan dikumpul di kawasan hutan bakau sebelum diseludup keluar ke Filipina.

Itu antara taktik dan modus operandi yang digunakan seorang lelaki warga asing apabila kegiatannya berjaya dikesan Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM), di sini, semalam.

Petrol yang dirampas – Foto Pasukan Polis Marin

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata berpandukan maklumat risikan itu, suspek berumur 23 tahun terbabit ditahan berikutan serbuan dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan ‘pondohan’ di Pulau Bohey Dulang, di sini, pada jam 4.30 petang.

Katanya, hasil serbuan itu membawa kepada penemuan 800 liter minyak petrol yang disembunyikan dalam kawasan bakau yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran Filipina.

“Kejayaan serbuan ini adalah hasil pemantauan serta risikan berterusan PPM dan mendapati suspek memperoleh bekalan petrol sedikit demi sedikit dari pekan Semporna sebelum dikumpul di kawasan hutan bakau yang sukar dilalui atau dilihat oleh pasukan keselamatan termasuk orang awam,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, walaupun pelbagai taktik dan modus operandi yang digunakan penyeludup, namun ia tidak mampu menghalang anggota PPM dalam mengesan serta mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Katanya, tangkapan dan rampasan termasuk sebuah bot yang digunakan untuk memunggah minyak petrol terbabit turut dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16,164. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta perseorangan dan penjara tiga tahun,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *