Kemabong Tidak Lagi Dipinggirkan

KEMABONG: Daerah Kecil Kemabong yang dulu terpinggir daripada segi pembangunan kini bakal menerima pelbagai manfaat pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pembangunan secara menyeluruh untuk membangunkan Kemabong bermula dengan pembinaan sebanyak 41 daripada 82 unit rumah kedai pada tahun depan yang dijangka merancakkan ekonomi di situ melalui aktiviti perniagan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pembinaan rumah kedai oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu adalah dasar kerajaan untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi negeri agar tidak tertumpu di bandar-bandar besar sahaja terutama Kota Kinabalu.

“Bulan lalu saya pecah tanah buat rumah kedai di Sipitang, hari ini kita buat di Kemabong sama ada LPPB dan badan-badan lain, itu sebab saya lantik Pengerusi Wences Angang dan Pengerusi Sedco yang baharu Dr. Richard Gunting orang Murut saya nyatakan saya mahu orang Murut kita bantu buat rumah kedai jangan di Kota Kinabalu cukup.

“Wences jangan lagi buat di Kota Kinabalu, buat di pedalaman negeri Sabah saya akan bagi peruntukan tetapi dalam kita bina rumah-rumah kedai saya tidak mahu pula orang Murut tidak berkedai, pastikan bila siap rumah kedai saya mahu usahawan orang tempatan Murut mesti juga ada kedai, cari jalan usaha saya tahu tiada duit boleh pinjam di bank tapi bila pinjam di bank jangan terus beli kereta, buat rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Sempena Ilau 2019 di Dataran Terbuka Pekan Kecil Kemabong yang dihadiri lebih 10,000 rakyat.

Mohd. Shafie merupakan Ketua Menteri Sabah pertama yang menjejakkan kaki ke Daerah Kecil Kemabong yang turut memberi makna kepada penduduk di situ Sempena Pesta Ilau yang disambut kaum Murut.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony; Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual; ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar, Wences dan Richard.

Dalam ucapannya, Mohd. Shafie turut mengumumkan kelulusan tanah seluas 0.6 hektar untuk membina balai bomba serta 1.72 hektar lagi untuk dibina balai polis iaitu dua infrastruktur asas yang masih belum ada di situ.

Selain itu, Mohd. Shafie turut menyampaikan sebanyak 142 geran tanah kepada penduduk Kemabong yang sebelum ini telah dipohon selama berpuluh-puluh tahun daripada kerajaan terdahulu tetapi tidak pernah ditunaikan.

Ketua Menteri berkata, masyarakat Kemabong yang masih belum mendapat tanah tetapi telah membuat permohonan perlu bersabar kerana beberapa proses perlu dilalui terlebih dahulu sebelum permintaan mereka ditunaikan.

“Mana yang belum dapat jangan pula marah ada peringkat-peringkat dia mana yang 60, 50 atau 40 tahun pohon ini yang kita dahulukan sudah lama proses ini saya tidak mahu hari ini saya umum kita mahu bagi geran, semalam dia pohon esok mahu keluar geran tidak boleh.

“Kena ada asas, syarat-syarat yang membolehkan supaya orang-orang yang berhak dapat saya tidak mahu nanti pohon tanah di Kemabong bukan orang Kemabong tetapi orang Kota Kinabalu ini bukan dasar kita, dasar kita pastikan ini tempat dia ini hak dia dan kita pasti bangunkan serta bantu mereka,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *