Shafie Sampaikan Ucapan Takziah Buat Keluarga Mejar Mohd Zahir

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang terkorban semasa melakukan latihan demonstrasi Pelancaran Divisyen ke-5 dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, di sini semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam kenyataannya memohon agar ahli keluarga Allahyarham terus tabah dan sabar atas berita duka berkenaan.

Beliau turut meminta seluruh rakyat sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon dan pelawak popular tanah air AR Badul disahkan meninggal dunia jam 9.20 pagi di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini.

Beliau yang juga komando pasukan Rejimen 11 Gerakhas Kem Sungai Udang Melaka meninggalkan balu serta lima anak berumur lima bulan hingga sembilan tahun, dan berasal dari Kuala Lumpur.