Jenazah Mohd Zahir Selamat Dikebumikan

Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh.

IPOH: Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya yang meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini, jam 8.45 pagi tadi.

Jenazah Mohd Zahir dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan dalam suasana sayu dan pilu dengan dihadiri kira-kira 2,000 tetamu termasuk ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan terdekat.

Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh untuk dikebumikan. – NSTP/Abdullah Yusof

Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi, mengiringi pengebumian jenazah yang bermula kira-kira jam 8.20 pagi.

Turut hadir memberi penghormatan, Panglima 21 Grup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali dan Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman.

Kelihatan beberapa ahli keluarga dan rakan seperjuangan Mohd Zahir sebak dan mengalirkan air mata sebaik sahaja jenazah selamat disemadikan.

Nourshafinar Harun isteri Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya. – NSTP/Abdullah Yusof

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke tanah perkuburan berkenaan dari kediaman ibu mentuanya di Taman Perpaduan, di sini pada jam 7.45 pagi.

Sebelum itu, jenazah Mohd Zahir dibawa keluar dari Masjid Al Fatih, Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur pada jam 2.23 pagi tadi dengan disolatkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan (TKPP), Brigadier Jeneral Datuk Mustafa Abdul Manap sebelum dibawa ke Ipoh.

Semalam, BH melaporkan Mohd Zahir, 36, yang bertugas sebagai pegawai Komando 11 GGK di Kem Sungai Udang, Melaka, maut terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, dalam kejadian pada jam 8.40 pagi.

Arwah yang juga anak kepada pelawak dan pelakon veteran, AR Badul, 70, atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada jam 9.28 pagi semalam.

Arwah Mohd Zahir meninggalkan seorang balu, Nourshafinar Harun, 31, dan lima cahaya mata berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *