Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Dikebumi Di Ipoh

Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir yang terkorban selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu tiba di kediaman keluarga isterinya Taman Perpaduan, Ulu Kinta.

IPOH: Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya AR Badul yang dibawa menaiki kenderaan milik Tentera Darat (TD), selamat tiba di rumah ibu mentuanya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta, di sini, jam 5.45 pagi tadi.

Ketibaan jenazah dalam suasana pilu disambut dengan penuh istiadat ketenteraan oleh pasukan 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Markas 2 Briged, Ipoh.

Nour Shafinar Harun, 31 (tiga, kiri) kelihatan sebak ketika masih menunggu jenazah suaminya Mejar Mohd Zahir Armaya tiba di Masjid Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang hari ini. – Foto BERNAMA

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tiba di kediaman ibu mentua Allahyarham, pada jam 6.50 pagi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada keluarga.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur, apabila jenazah Allahyarham, tiba di masjid itu untuk penghormatan terakhir dan solat jenazah.

Pelakon dan pelawak, AR Badul mengiringi jenazah anaknya, Allahyarham Mejar Mohd Zahir yang terkorban selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu di Taman Perpaduan, Ulu Kinta. – NSTP/Abdullah Yusof

Lebih 1,000 hadirin termasuk anggota keluarga, kenalan rapat dan petugas media menunggu ketibaan jenazah pada jam 1.48 pagi itu untuk memberi penghormatan terakhir dan menyempurnakan solat jenazah Allahyarham Mohd Zahir.

Antara kenamaan yang hadir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Panglima TD, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Ahmad Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany; Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kol (B) Nazim Mohd Alim dan bapa Allahyarham, AR Badul serta anggota keluarga yang lain.

Jenazah Allahyarham Mohd Zahir yang selesai disolatkan pada jam 2.43 pagi itu kemudian dibawa ke Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, selepas solat Subuh.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada jam 9.20 pagi semalam, selepas dipercayai tertembak ketika membuat aksi gimik dalam satu demonstrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Allahyarham Mohd Zahir bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur adalah seorang bapa kepada lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

Sementara itu, Nazim berkata beliau mewakili Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, untuk menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka berdua kepada anggota keluarga Allahyarham Mohd Zahir.

“Saya juga menyampaikan sumbangan bagi pihak Seri Paduka Baginda berdua buat isteri Allahyarham, Nourshafinar Harun,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Kem Wardieburn.

Sementara itu, Nourshafinar berkata; “Saya rasa bertuah sangat hidup dengan dia (Mejar Mohd Zahir) walaupun Allah pinjamkan dia sekejap sahaja”.

Ditemui pemberita di Masjid Kem Wardieburn di sini malam tadi, Nourshafinar, 31, berkata beliau mengetahui suaminya meninggal dunia selepas menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai tentera dari Sabah.

“Cuma berita itu sahaja saya terima dan tidak tengok lagi apa-apa video mengenai kejadian itu.

“Kali terakhir saya jumpa Allahyarham pada 26 Ogos lalu sebelum dia ke Sabah,” katanya yang kelihatan amat sedih,” katanya.

Berita Harian