Polis Tuaran Tahan 10 Penagih

Anggota polis semasa menahan penagih dikehendaki di salah sebuah taman perumahan di Tuaran.

TUARAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran berjaya menahan 10 warga tempatan dalam beberapa siri operasi yang dijalankan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, operasi selama seminggu bermula 26 Ogos hingga 1 September itu dijalankan di beberapa kawasan termasuklah Telipok Ria serta Taman Sri Rugading.

“Hasil operasi berjaya menahan 10 individu masing-masing tujuh memiliki dadah dan tiga yang lain positif dadah jenis syabu selepas ujian air kencing dijalankan.

“Pemerkasaan Ops Tapis ini juga membawa kepada penahanan tujuh penagih dikehendaki dan hasil daripada Ops Hibur juga menahan seorang penagih di sini,” katanya.

Pihaknya juga berjaya merampas sejumlah 1.60 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM148.40 mengikut harga pasaran tempatan.

Katanya, kesemua suspek berumur 20 hingga 40 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga membawa kepada penangkapan penjenayah ini.

“Usaha membanteras aktiviti penagihan serta penyalahgunaan dadah di daerah ini akan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan masyarakat di sini,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *