10 PTI Ditahan Dalam Ops Bersepadu Di Sekitar KK

Sebahagian PTI yang ditahan dalam Ops Bersepadu


KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan 10 pendatang tanpa izin (PTI) dalam serbuan di beberapa kawasan semasa Ops Bersepadu dijalankan di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata operasi dijalankan selama enam jam bermula 3 petang hingga 9 malam di enam lokasi berasingan di sini.

“Operasi serbuan termasuklah di Kolombong, Inanam, Manggatal, KKIP Selatan dan kawasan sekitar bandaraya telah memeriksa seramai 46 individu keseluruhannya.

“Kita melepaskan 36 individu selepas pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan pemeriksaan dokumen dan majikan serta ahli keluarga memberikan kerjasama dengan menghantar dokumen ke IPD Kota Kinabalu,” katanya.

Menurutnya, 10 individu berumur 18 hingga 55 tahun ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Bercakap lanjut berkenaan operasi itu, Habibi berkata ia dijayakan dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA), JPN, RELA, Imigresen, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Katanya, operasi itu akan diperkasakan dari semasa ke semasa dan orang awam dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dalam usaha mengurangkan jenayah setempat bersama.

Utusan Borneo