KOTA KINABALU: Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya diterbangkan menaiki pesawat komersil Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur untuk dikebumikan.
Jenazah tiba di perkarangan MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) jam 7 malam sebelum diiring menggunakan kenderaan khas lapangan terbang ke kawasan parkir pesawat dengan menaiki van jenazah.
Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di kampung halaman isterinya Nour Shafinar Harun, 31, di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Perak selepas solat Subuh.
Pada 5.30 petang tadi, van membawa jenazah Mohd Zahir keluar dari perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid As-Salam di Kem Lok Kawi untuk solat jenazah.
SabahNewsToday difahamkan terdapat enam waris dan ahli keluarga mangsa turut bersama menaiki pesawat itu.
Pegawai dan anggota tentera yang berada disitu turut memberikan tabik hormat yang terakhir sebelum keranda Allahyarham memasuki ruang kargo pesawat Boeing 737-800.
Suasana hiba dapat dilihat dikalangan ahli keluarga Allahyarham dan pegawai serta anggota tentera di Balai Pelepasan KKIA.
Penerbangan MH2639 itu dijangka ditiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat tengah malam nanti. -SabahNewsToday