TAWAU, 4 Sept: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sabah perlu sentiasa mengemaskini pangkalan data profil kampung masing-masing bagi memudahkan perancangan pembangunan kampung dilaksanakan dengan lancar dan tersusun, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata.
Katanya, mereka juga perlu memastikan profil mengenai tadbir urus desa, perancangan aktiviti, pengurusan mesyuarat, akaun dan kewangan, serta permohonan geran juga dimantapkan.
“Melalui data kampung yang dikemaskini maka sudah pasti penyaluran maklumat serta perancangan pembangunan dapat dibuat dengan terancang oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Siri 2/2019 Negeri Sabah Zon Pantai Timur, di sini, hari ini.
Program dua hari itu telah disertai 484 orang yang terdiri dari Pengerusi dan Setiausaha MPKK dari daerah Kunak, Semporna dan Tawau dengan mengetengahkan pelbagai isu termasuk permohonan kenaikan elaun.
Sementara itu, Sarifuddin berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, memperuntukkan sebanyak RM1.13 bilion kepada negeri Sabah tahun ini ini berbanding RM811 juta pada tahun 2018 untuk pembangunan negeri.
Katanya, pertambahan sebanyak 40 peratus itu membolehkan lebih ramai merasai bantuan kemudahan asas yang disediakan Kerajaan Persekutuan.
BERNAMA