ESSCOM Waspada Susulan Abu Sayyaf Sedang Rancang Penculikan

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa waspada mengenai ancaman jenayah kumpulan pengganas Abu Sayyaf khususnya di perairan pantai timur Sabah.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi Sabah News Today berkata kesiapsiagaan dan rondaan di kawasan perairan kawalan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sentiasa dititikberatkan.

Surat Pemberitahuan dari Konsulat Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu kepada warga Indonesia terutama yang bekerja sebagai nelayan dan kru kapal di Sabah. – Foto Konsulat RI Tawau
Datuk Hazani Ghazali.

“Kita sentiasa waspada dan bersiapsiaga sebarang ancaman penjenayah khususnya Abu Sayyaf di perairan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas surat pemberitahuan oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia yang tular sejak pagi tadi yang menyatakan tiga kelompok Abu Sayyaf dilaporkan telah melakukan pergerakkan ke perairan Malaysia pada 30 Ogos lalu.

Berdasarkan surat pemberitahuan itu, tujuan kumpulan Abu Sayyaf itu untuk melakukan penculikan dengan sasaran kapal Batubara, tenker, nelayan kapal lengkong dan kapal tarik udang.

Mengulas mengenainya, Hazani berkata pihaknya turut mendapat surat berkenaan yang tular dan sudah menghubung dengan pasukan keselamatan Filipina untuk mengesan pergerakan kumpulan terbabit.


“Setakat ini negatif (tiada pergerakan dikesan).

“Bagaimanapun kita berwaspada dan siap siaga mengenainya,” katanya.

Dalam surat itu, dinyatakan wilayah atau tempat yang menjadi sasaran kolompok berkenaan iaitu di Bakongan, Berhala, Sandakan, Mamiang, Tembiasan dan Taganak.

Surat itu dipercayai untuk disampaikan kepada warga Indonesia iaitu nelayan dan kru kapal untuk waspada jika berlayar di perairan yang menjadi sasaran operasi kelompok Abu Sayyaf.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *