Sabah Laksana Pembangunan Seimbang Atasi Masalah Kemiskinan – Ketua Menteri

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus melaksanakan pembangunan seimbang termasuk memastikan peluang pekerjaan disediakan di setiap daerah sebagai usaha mengatasi masalah kemiskinan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha pembangunan mampan di Sabah tidak hanya tertumpu di bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Keningau, tetapi akan diseimbangkan di seluruh negeri termasuk di kawasan luar bandar.

“Ini (kemiskinan) yang kita (kerajaan Sabah) nak berusaha (membasminya). Semalam di Sipitang, saya dimaklumkan oleh Jabatan Buruh bahawa mereka sudah menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 12,000 belia. Ini yang kita mahukan untuk mengatasi masalah kemiskinan yang ada,” katanya selepas merasmikan Galleria Artisan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiran Mohd Zakaria dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Megat Mohd Yatim Megat Hamid.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah melalui agensi berkaitan termasuk Yayasan Sabah juga komited membantu memasarkan hasil produk penduduk tempatan di luar bandar ke arah meningkatkan lagi pendapatan dan sosioekonomi mereka.

Galleria Artisan di PPNS misalnya, kata Mohd Shafie, mampu menjadi platform memasarkan produk lukisan, kraftangan serta tekstil usahawan tempatan khususnya dari luar bandar kerana produk dihasilkan menerapkan seni halus bermotifkan identiti Sabah yang mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri serta mempunyai permintaan dalam pasaran.

Selain pelancong, rombongan yang ingin mengadakan pertemuan dengan ketua menteri atau menteri-menteri Sabah yang berpejabat di bangunan itu boleh singgah sebentar bagi melihat sendiri hasil kraftangan di galeri berkenaan, katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie turut menggalakkan galeri seumpama itu diwujudkan di lokasi tumpuan pelancong termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu supaya lebih ramai usahawan kraftangan tempatan berpeluang mempromosi dan memasarkan produk mereka.

Usahawan tempatan khususnya di luar bandar juga diminta memanfaatkan kecanggihan teknologi masa kini untuk menjual hasil kraftangan menerusi perniagaan dalam talian kerana kaedah itu juga berupaya membolehkan mereka menembusi pasaran luar sekali gus membantu meningkatkan pendapatan, katanya.

Galleria Artisan terletak di aras bawah, blok A, bangunan PPNS itu adalah milik Kumpulan Yayasan Sabah yang berperanan sebagai pusat sehenti untuk pengumpulan, jualan dan mempamerkan produk kraftangan, batik dan lukisan berkualiti hasil daripada usahawan tempatan seluruh Sabah.

Galeri berkeluasan 704.2 meter persegi yang diubah suai pada kos RM2 juta daripada TERAJU itu dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu hasil kraftangan, batik serta lukisan dan ia beroperasi pada Isnin hingga Jumaat mulai 8 pagi hingga 5 petang.

BERNAMA

16