Tiada Lagi ‘Sewa Sepanjang Hayat’ Rumah PPR Di Sabah

KOTA KINABALU: Konsep sewa sepanjang hayat yang dilaksanakan di semua program perumahan rakyat (PPR) berakhir selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan Sabah supaya semua PPR itu ditukar status kepada sewa beli.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kelulusan tersebut diberikan selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal menulis sendiri surat kepada beliau tentang perkara itu.

Katanya, sebanyak 30 PPR terlibat dalam penukaran status berkenaan.

“Ya, memang Sabah ada tulis surat, kita di kementerian pada prinsipnya kita luluskan untuk Sabah tukar status PPR kepada sewa beli kita sudah luluskan ada 30 tidak salah saya, ada 30 di Sabah yang Ketua Menteri minta untuk tukarkan kepada sewa beli kita sudah beri kelulusan,” katanya.

Zuraida Kamaruddin

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti, di sini semalam.

Pengumuman Zuraida itu merupakan berita gembira kepada rakyat negeri ini yang berhasrat memiliki rumah kediaman masing-masing sejak sekian lama.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata, kerajaan menerima aduan rakyat di Sabah yang telah menyewa rumah PPR sehingga 30 tahun tetapi masih belum memiliki kediaman sendiri.

Konsep ‘sewa sepanjang hayat’ itu merupakan dasar yang digunakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

BorneoToday