Royal Brunei Terbang Terus Ke Tawau & Sandakan

WILLIAM Baya (dua dari kanan) diiringi Martin Aeberli (dua dari kiri) ketika hadir di Majlis Pelancaran Penerbangan Royal Brunei Airlines (RB) ke Sandakan dan Tawau menerusi perkhidmatan RB Link di Kota Kinabalu. NSTP/Malai Rosmah Tuah.

KOTA KINABALU: Royal Brunei Airlines (RB) hari ini melancarkan dua lagi destinasi penerbangan terbaharunya di Sabah yang dihubungkan terus dengan Bandar Seri begawan melalui perkhidmatan RB Link yang menghubungkan negara itu dengan bandar di Borneo.

Dua destinasi itu ialah Sandakan dan Tawau, masing-masing dijadualkan bermula pada 28 Oktober dan 11 November depan menggunakan pesawat baharu ATR 72-600 dengan jualan tiket yang bermula hari ini pada kadar serendah RM265 pergi balik.

RB Link adalah perkhidmatan baharu ditawarkan syarikat penerbangan berpangkalan di Brunei itu yang dilancarkan pada Julai lalu yang menghubungkan negara berkenaan dengan bandar di Borneo menerusi kerjasama dengan Malindo Air.

Ketua Pegawai Komersial RB Link, Martin Aeberli, berkata penawaran laluan baharu syarikat penerbangan berkenaaan sejajar dengan peningkatan permintaan penduduk di Sabah, Sarawak dan Indonesia bagi rangkaian perhubungan di wilayah ini.

“Kota Kinabalu adalah destinasi RB yang pertama di Malaysia yang dibuka ketika ia mula beroperasi pada 1975. Sehingga kini, Sabah kekal satu daripada destinasi popular RB dengan penumpang datang dari semua rangkaian kami.

“Kami sangat teruja untuk mengembangkan perkhidmatan ke Sabah dengan dua lagi destinasi iaitu Sandakan dan Tawau menerusi perkhidmatan RB Link,” katanya pada Majlis Pelancaran Penerbangan RB Ke Sandakan dan Tawau menerusi perkhidmatan RB Link, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, William Baya dan Pemangku Konsul Jeneral Brunei di Kota Kinabalu, Mohd Asulhamhaidi Md Ashrane.

Bagi Sarawak, Aeberli berkata syarikat penerbangan itu juga akan memulakan penerbangan ke Bintulu pada 5 November depan dan Sibu bermula 14 November, sebagai tambahan destinasi sedia ada di negeri itu iaitu Kuching.

Sementara itu, katanya langkah kerajaan Indonesiia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur disasar dapat meningkatkan lagi kekerapan penerbangan dan pertumbuhan syarikat itu memandangkan Balikpapan, Kalimantan adalah satu daripada rangkaian destinasi sedia ada melalui perkhidmatan RB Link.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *