SANDAKAN: “Saya ambil inisiatif itu kerana tidak sampai hati melihat mereka berlapar ketika pelajar lain menikmati makanan pada waktu rehat,” kata Maisarah Hannan, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent St Cecilia di Sandakan.
Maisarah, 32, memberi reaksi itu mengenai inisiatifnya menyediakan makanan percuma kepada pelajar yang kurang berkemampuan.
Bercerita lanjut, Maisarah berkata, projek itu bermula pada Mac tahun lalu menggunakan wang simpanannya sendiri dan didorong simpatinya terhadap pelajar yang tidak mampu membeli makanan pada waktu rehat.
“Saya bertugas sebagai guru kaunseling dan sering bertemu pelajar untuk mengetahui masalah serta mendengar luahan mereka.
“Hasil maklumat diterima mendapati sebenarnya ramai pelajarnya yang tidak membawa duit belanja ke sekolah dan setiap kali waktu rehat, mereka akan mengasingkan diri di tempat tersorok sehingga loceng berbunyi.
“Melihat keadaan itu, saya berasa sedih dan bertanggungjawab untuk membantu mereka menerusi projek ini.
“Mulanya, saya bergerak sendiri tetapi kemudiannya mendapat sokongan rakan guru lain yang turut sama menyumbang untuk membantu menjayakannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Maisarah, projek berkenaan dijalankan setiap Selasa, Rabu dan Jumaat yang mana sebanyak 50 pek makanan disediakan kepada pelajar berkenaan.
Katanya, makanan itu diletakkan atas rak di koridor luar bilik guru dan pelajar boleh mengambilnya secara percuma mengikut keperluan masing-masing.
“Alhamdulillah, projek ini diterima baik dan makanan disediakan juga cukup kerana hanya diambil oleh pelajar yang benar-benar memerlukan.
“Sambutan baik itu mendorong saya untuk melaksanakan projek minuman percuma juga yang bermula Mac lalu cuma bezanya, ia dijalankan sekali saja dalam seminggu iaitu pada Selasa atau Khamis khusus untuk semua warga sekolah tidak kira pelajar, guru atau kakitangan lain.
“Selain membantu pelajar, dua projek itu dilaksanakan dengan tujuan untuk memupuk amalan bersedekah dalam kalangan warga sekolah,” katanya.
Sementara itu, Maisarah yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berkata, dia tidak sangka perkongsiannya di Facebook mengenai dua projek berkenaan mendapat perhatian warganet.
“Sebenarnya, saya agak terkejut selepas mengetahui perkongsian saya itu tular di media sosial memandangkan ia bukanlah projek baru tetapi sudah lama dilaksanakan.
“Terima kasih kepada yang memberi maklum balas positif dan saya hanya berharap supaya perkongsian itu menyuntik semangat guru atau sesiapa saja di luar sana untuk membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya yang turut aktif menyertai aktiviti sukarelawan anjuran sebuah pertubuhan amal.
Harian Metro