Sistem Utama Tangki Air Di Sepanggar Dicuri & Dirosakkan

Amarjit melawat tangki air K2 di Sepanggar yang menjadi sasaran vandalisme.

KOTA KINABALU: Beberapa komponen sistem utama di tangki air K2 Sepanggar dilarikan penjenayah menyebabkan gangguan terhadap operasi harian Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di kawasan terbabit sehingga Likas.

Pengarah JANS Ir Amarjit Singh berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 3 petang kelmarin (Khamis) semasa juruteranya menjalankan pemeriksaan rutin di tangki air terbabit.

Amarjit melawat tangki air K2 di Sepanggar yang menjadi sasaran vandalisme.

“Antara peralatan yang dicuri termasuklah komponan panel kawalan, transmeter, penerima data, skala sistem, injap altitude dan penutup lubang utama.

“Kesemua komponen sistem yang hilang menyebabkan gangguan kepada bacaan aliran air dan kita tidak dapat menerima serta menentukan kadar aliran yang tepat untuk agihan air ke rumah penduduk di Sepanggar sehingga ke Likas.

Kerosakan panel akibat vandalisme boleh menyebabkan kerugian sehingga jutaan ringgit dan menyebabkan bekalan air terputus.

“Situasi ini boleh menggangu bekalan aliran air yang sepatutnya disalurkan dengan baik dan lancar ke rumah penduduk yang mencecah 40 hingga 50 ribu sebelum ini di sini,” katanya.

Menurutnya, ini bukanlah kali pertama kejadian seumpama berlaku dan pihaknya sudah merekodkan beberapa kejadian lain di sini.

“Sebelum ini kita pernah menerima kejadian di tangki air Flamingo dan Putera Jaya yang mana penjenayah melakukan perkara sama iaitu melarikan pam air serta kabel.

“Kes sama di Pulau Gaya apabila operasi  tidak dapat dijalankan berikutan set generator dicuri dan hanya rangka yang ditinggalkan,” katanya.

Tambahnya, kesemua kejadian termasuk di tangki air K2 menyebabkan kerugian sehingga mencecah RM1 juta.

“Apabila kita kehilangan komponen penting yang ditempatkan di tangki air ini maka keadaan ini akan menggangu operasi harian di JANS.

“Proses untuk membaik pulih kepada operasi seperti sedia kala akan mengambil masa yang lama berikutan komponen yang hilang sangat sukar diperolehi, tambahan pula ada yang perlu ditempah serta dibuat sendiri,” katanya.

Bercakap lanjut mengenai persoalan keselamatan berkenaan ketiadaan anggota atau pengawal keselamatan yang ditempatkan di setiap tangki air, Amarjit berkata pihak JANS kini menghadapi kekangan kekurangan anggota.

“Buat masa ini kita hanya mempunyai kurang seribu anggota dan perlu menyediakan 1,300 juta liter sehari kepada penduduk, setakat ini juga hanya dua anggota mengendalikan talian bebas JANS.

“Berkenaan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap tangki air, kita sudah menghantar kertas kerja kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah dan kini menunggu untuk proses kelulusan dan tindakan lanjut,” katanya.

Oleh itu beliau menasihatkan orang awam atau pihak tidak bertanggungjawab agar menghentikan perbuatan vandalisma di tangki air JANS bagi mengelakkan gangguan kepada penyaluran bekalan air harian.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *