Kerajaan Negeri Alu-Alukan MYDIN Perluas Operasi Ke Bandar Utama Lain Di Sabah

Pasaraya Besar MYDIN Ujana Sejati Sandakan

SANDAKAN: Kerajaan negeri amat mengalu-alukan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) memperluaskan operasi rangkaian pasar raya ke bandar utama lain di negeri Sabah bagi membantu rakyat mendapatkan lebih banyak pilihan barangan keperluan harian pada harga yang lebih kompetitif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik, Jaffari Waliam berkata, selain membantu menyediakan kemudahan rakyat berbelanja, MYDIN juga membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada masyarakat setempat.

“Kita menghargai komitmen MYDIN membuat pelaburan di negeri ini bagi mengembangkan perniagaannya pada masa hadapan, mungkin di Kota Kinabalu.

“Saya dimaklumkan dua pasar raya besar yang akan dibuka tahun depan di Jengka, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan yang ketika ini sedang dalam pembinaan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pasar Raya Besar MYDIN Sejati Ujana, di sini, pagi kelmarin.

Jaffari menambah, sekiranya MYDIN mengembangkan operasi perniagaannya ke Kota Kinabalu, ia akan membuka peluang lebih ramai anak-anak tempatan di Sabah untuk memperolehi pekerjaan.

“Kita yakin dengan sambutan baik rakyat Sabah selepas Pasar Raya Besar MYDIN Sejati Ujana, ia membolehkan mereka mengembangkan perniagaan ke bandar lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, kesungguhan rangkaian pasar raya MYDIN menjual lebih banyak produk halal keluaran tempatan akan menjadi pilihan pengguna untuk berbelanja barang keperluan harian.

“Selain memberi peluang kepada penduduk setempat membeli barangan di Pasar Raya MYDIN pada harga borong dan berpatutan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jaffari juga yakin MYDIN akan menjadi pusat sehenti bagi masyarakat Islam untuk membeli keperluan bagi menunaikan Ibadah Haji, Umrah dan keperluan berkaitan.

“Dari kain ihram, kompas kimbat, spray wudhu, kasut tawaf, sarung bagasi dan segala macam peralatan boleh didapati di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr. Haji Ameer Ali Mydin berkata, pasar raya besar itu sememangnya menyediakan pelbagai barangan bukan sahaja bahan mentah dan kering, perkakas rumah dan pakaian, malah kelengkapan muslimin turut dijual.

Katanya, ia secara tidak langsung akan memberi kemudahan kepada umat Islam untuk mendapatkan barangan muslimin bagi kegunaan sendiri ataupun diberikan kepada pihak lain.

“Kita tahu di Sandakan ini juga ramai umat Islam. MYDIN sememangnya dilengkapi dengan kelengkapan muslimin. Oleh itu, kalau mahu beli kelengkapan untuk Umrah atau Haji, ataupun mahu memberi sumbangan kepada masjid atau surau, semuanya boleh didapati di MYDIN,” jelasnya.

Selain itu beliau berkata, produk makanan yang dijual di pasar raya itu adalah halal sekaligus pelanggan khususnya umat Islam tidak perlu was-was dengan status produk.

“Bagi produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS), memang ada di antara produk yang tidak ada tanda halal, tetapi kita mempunyai pasukan yang telah memastikan ramuan produk itu adalah halal.

“Ini kerana kita faham di Sabah agak susah untuk mendapatkan sijil halal terutama bagi pengusaha IKS kecil-kecilan kerana memerlukan kos yang besar serta perlu melalui prosedur tertentu.

“Tetapi ini tidak bermakna kita tidak memberi peluang kepada mereka. Dan, sebenarnya dengan membawa produk mereka masuk ke MYDIN, secara tidak langsung selepas itu mereka akan berusaha untuk mendapatkan sijil halal,” jelasnya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *