Buku ‘Curry Leaves’ Perkongsian 100 Resepi Ciptaan Isteri Ketua Menteri

RASMI: Christina Liew (kanan) merasmikan Buku Resepi Makanan Datin Seri Shuryani Shuaib (tengah) yang juga isteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) bertajuk ‘Curry Leaves’ semalam.


KOTA KINABALU: Sebanyak 100 resepi masakan yang dihasilkan isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Shuryani Shuaib kini diterbitkan dalam buku berjudul ‘Curry Leaves’.

Buku Curry Leaves adalah buku ke-15 yang ditulis beliau dan ia juga menjadi buku masakan pertama yang dihasilkannya.

“Sepatutnya, buku ini dirancang untuk diterbitkan dua tahun lepas tetapi baru sekarang dapat direalisasikan.

“Buku masakan ini adalah perkongsian resepi turun-temurun dan ia merangkumi hidangan makanan yang sihat,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis Pelancaran Buku Curry Leaves yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, di sini semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal turut hadir sebagai tetamu kehormat majlis berkenaan. 

Shuryani berkata, sebanyak 1,000 salinan diterbitkan untuk cetakan pertama buku berkenaan dan cetakan kedua akan dibuat kemudian.

“Buku ini adalah satu perkongsian mengenai resepi kegemaran saya. Ia bukan sahaja menunjukkan minat saya kepada bidang masakan, malah dapat mencipta memori indah semasa saya menghasilkan setiap resepi dalam buku ini,” jelasnya.

Sementara itu, Christina berkata, buku Curry Leaves amat sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong agar mereka berpeluang mencuba masakan Malaysia.

Beliau yakin ia juga pendekatan terbaik untuk memperkenalkan kepelbagaian hidangan lazat masakan Malaysia kepada pelancong dari negara lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *