Proses Pembiakan Badak Sumbu Akan Dilaksanakan Di Indonesia – Christina Liew

Chrsitina (kanan) bersama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Assafal Pg. Alian (kiri) semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Asrama Kinotoki dan Mokodou Panalaban Taman Kinabalu, di sini pada Sabtu.

KUNDASANG: Kerajaan Sabah akan mendapatkan bantuan pakar dari Jerman dalam menjayakan program pemuliharaan dan pembiakan badak sumbu sumatera yang akan dilaksana setelah Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Indonesia dimeterai pada September ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, memandangkan proses itu melibatkan kemahiran pembedahan yang tinggi maka, Sabah perlu mendapatkan bantuan pakar dari luar.

Bagi Kerajaan Indonesia, mereka memang mempunyai tenaga pakar sendiri.

“Kita kena upah pakar dari Jerman untuk membantu kita dan saya juga turut dinasihatkan oleh penasihat badak sumbu sumatera Dr John Payne dan WWF dalam menjayakan program ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kesudian Indonesia menandatangani MoU bagi usaha pemuliharaan badak sumbu sumatera yang berdepan kepupusan di Sabah-Malaysia.

Menurutnya, proses penuaian telur akan dilakukan di Sabah sebelum ianya dibawa ke Indonesia untuk dimasukkan ke dalam rahim ibu tumpang (surrogate mother) badak betina yang sihat di Indonesia.

“Kita berharap akan dapat lebih dari seekor anak agar kita dapat berkongsi. Jika hanya ada satu anak, itu akan mendatangkan masalah,” ujarnya.

Christina, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, apabila MoU bersama Indonesia itu sudah ditandatangani barulah Sabah boleh meneruskan proses penyediaan kertas kerja dan dokumentasi.

Katanya, program pemuliharaan dan pembiakan ini akan melibatkan banyak kertas kerja maka, ia akan dilakukan secara berperingkat.

“Saya tahu saya masih baru sebagai menteri, baru 15 bulan tapi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sudah berusaha untuk program ini sejak beberapa tahun dahulu.

“Proses perbincangan mengenai usaha ini sudah berlangsung agak lama sehingga kita kehilangan Tam, badak jantan terakhir Malaysia.

“Oleh itu, kita merasa bertuah kerana mendapat persetujuan dari Indonesia untuk memeterai MoU berkenaan.

“Jika ditanya adakah ia akan berjaya? saya akan katakan separuh sudah berjaya dan hanya tinggal separuh lagi yang perlu diselesaikan. Ini kena tunggu hasil perbincangan bahagian pentadbiran,” jelasnya.

Hujung minggu lalu, Christina bersama delegasi dari Sabah termasuk JHL Sabah dan WWF berkunjung ke Indonesia bagi mendapatkan persetujuan untuk melaksana program pemuliharaan dan pembiakan badak sumbu sumatera.

Ketika ini, Sabah-Malaysia hanya mempunyai seekor sahaja lagi badak sumbu iaitu Iman yang merupakan badak betina terakhir di negara ini.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *