ESSCom Siasat Laporan Nelayan Cedera Ditembak Di Laut Tawau

TAWAU, 19 Ogos: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menerima laporan membabitkan seorang nelayan cedera ditembak di lengan kanan ketika cuba melarikan diri dari sekumpulan lelaki mahu melakukan rompakan di laut, berhampiran sempadan Indonesia, semalam.

Komander ESSCom, Datuk Hazani Ghazali berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung laporan berkenaan.

“Rompakan di laut, bukan kejadian baharu berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, semalam seorang nelayan warga Filipina cedera terkena tembakan di lengan kanan selepas cuba melarikan diri daripada sekumpulan lelaki di kawasan laut Tawau pada  jam 12.30 tengah hari.

Mangsa lelaki berusia 60 tahun bersama anak lelakinya berumur 27 tahun yang sedang menangkap ikan didatangi tiga lelaki memakai topeng dengan sebuah bot fiber.

Suspek yang menghampiri bot mangsa kemudian mengacukan senjata api serta menjerit mengarahkan mangsa untuk menghentikan bot namun mangsa enggan dan memecut laju bot menuju ke Kampung Pangkalan Wakuba dekat sini bagi meminta bantuan.

Seorang suspek, bagaimanapun, melepaskan satu das tembakan ketika itu dan mengenai lengan mangsa, kesemua suspek melarikan diri menghala ke perairan Indonesia.

Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Tawau.

BERNAMA

58