Halang Dr Zakir: Sabah Tunggu Siasatan

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika tiba di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Sutera Harbour di Sutera Harbour.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah masih menunggu siasatan polis mengenai pendakwah Dr Zakir Naik sebelum membuat keputusan sama ada melarangnya memasuki negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata jika ada bukti yang jelas berkaitan kenyataan kontroversi pendakwah berkenaan, kerajaan negeri tidak teragak-agak menghalangnya ke Sabah.

“Kita akan mendapatkan laporan daripada pihak keselamatan. Jika ada bukti yang jelas, kita akan menghalangnya.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2019 bahawa Islam perlu diajar dan dikembangkan tetapi perlu ada kesederhanaan.

“Ada banyak ayat dalam al-Quran yang menyebut bahawa seseorang boleh mengembangkan agamanya tetapi tidak memperkecilkan agama lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Kebangsaan Sutera Harbour Resort, di sini, hari ini.

Setakat ini tujuh negeri termasuk Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak menghalang Zakir ke negeri berkenaan.

Zakir sebelum ini didakwa membuat kenyataan menyinggung masyarakat keturunan India dan Cina ketika menyampaikan ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu.

Dalam isu lain, Mohd Shafie berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian menteri persekutuan dari Sabah.

“Sebagai menteri persekutuan, keutamaan mereka adalah kepada negara. Bagaimanapun, adalah perkara biasa mereka membangkitkan isu berkaitan dan ada kepentingan kepada Sabah atau kawasan mereka ketika mesyuarat Kabinet,” katanya mengulas dakwaan mengenai menteri dari negeri ini tidak membangkitkan isu Sabah.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *