Polis Keningau Rampas Tiga Laras Senapang Disorok Dalam Hutan

Foto Ihsan Polis Daerah Kenigau

KENINGAU, 16 Ogos: Polis merampas dua laras senapang membabitkan dua Rifel dan selaras senapang buatan sendiri (Bakakuk) yang disorokkan di Hutan Sabindo Apin-Apin dekat sini.

Ketua Polis Keningau DS Shahrudin Mat Husain berkata senjata api yang ditemukan pada Rabu lepas adalah rifel berkapasiti tinggi menggunakan peluru .223 dan .22.

Katanya penemuan senjata api tersebut adalah susulan siasatan terhadap satu kes tertembak ketika berburu di kawasan hutan itu kira-kira jam 10  pagi pada Sabtu lepas membabitkan dua beradik semasa berburu bersama.

Abang kepada mangsa ditahan ketika membuat laporan mengenai kes tertembak tersebut yang membawa kepada rampasan ketiga-tiga laras senapang itu, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shahrudin berkata siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengetahui bagaimana peluru .223 yang biasanya digunakan untuk rifel M16 itu diperolehi.

Beliau berkata polis turut merampas 13 butir peluru hidup 5.56MM, 11 kelongsong peluru 5.6MM, empat butir peluru hidup jenama Xpert Game GR.32 celever mirage 12, dua butir peluru jenama Mirage 34GR Pallettoni, tiga butir peluru hidup .223 dan lima butir peluru hidup .22.

Menurutnya siasatan lanjut masih dijalankan bagaimana kedua-dua rifel berkapasiti tinggi itu berada di daerah ini.

Beliau tidak menafikan bahawa senjata berkapasiti tinggi itu diperolehi dari luar negeri ini.

BERNAMA