Pembantu Penyelia Ladang Felda Sahabat Ditangkap Disyaki Miliki Syabu

Pembantu penyelia Ladang Felda Sahabat ditangkap disyaki miliki syabu

LAHAD DATU: Kelakuan mencurigakan seorang pembantu penyelia Ladang Felda Sahabat yang menunggang motosikal terbongkar apabila beg pinggang yang diperiksa menemukan 38.25 gram disyaki syabu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisionar Nasri Mansor berkata, sepasukan enam anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lahad Datu yang sedang melakukan Op Tapis menahan suspek di simpang masuk kawasan perindustrian Layung, Jalan Tengah Nipah pada Rabu, kira-kira jam 5.45 petang.

“Semasa pemeriksaan tubuh badan suspek, beg pinggang berwarna putih susu berlogo ‘F’ yang dipakai oleh suspek ketika itu turut diperiksa.

“Di dalamnya dijumpai satu paket plastik lutsinar yang mengandungi empat paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu, 15 gulung kertas timah dan satu dompet berwarna kelabu di dalamnya mengandungi kad pengenalan diri suspek,” katanya.

Menurutnya, suspek yang kemudiannya menjalani ujian air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *