28 Kapal Layar Antarabangsa Berlabuh Di Lahad Datu

28 Kapal Layar Antarabangsa Berlabuh Di Lahad Datu – Foto Ihsan Pembaca

LAHAD DATU, 15 Ogos: Lahad Datu menerima kedatangan 28 kapal layar antarabangsa yang berlabuh di kawasan perairan Pangkalan Marin di sini, sejak semalam.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Dr Mohammad Ayob Yaacob menyifatkan usaha Sail Malaysia membawa pelayar daripada Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan United Kingdom ke daerah ini sebagai salah satu usaha mempromosi pelancongan di Lahad Datu.

28 Kapal Layar Antarabangsa Berlabuh Di Lahad Datu – Foto Ihsan Pembaca

“Seramai 66 pelayar berlabuh di Lahad Datu sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Semporna esok.

“Pelayar- pelayar ini julung kali berlabuh di sini dan mereka cukup gembira kerana sepanjang pelayaran ini dapat menikmati keindahan perairan yang kita ada di Lahad Datu,” katanya  kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pelayaran Malaysia Laluan ke Timur Perhimpunan Kapal Layar 2019 di sini, hari ini.

Menurut Mohammad Ayob, kehadiran para pelayar bukan sahaja memberi gambaran positif  terhadap keselamatan di daerah ini sekali gus memberi peluang untuk daerah ini mempromosikan sektor pelancongan sedia ada.

“Tidak dinafikan, Lahad Datu mempunyai banyak tempat yang menarik untuk dilawati justeru,kami berharap agar acara seperti ini dapat dijadikan acara tahunan agar dapat memberi impak bukan hanya pada daerah kita tetapi juga pada negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha berkata acara kapal layar itu merupakan antara inisiatif pihaknya bersama Cruise Maribe Tourism Association serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menggalakkan pelayar-pelayar antarabangsa berlabuh sambil melancong di perairan Malaysia 

“Kebiasaannya, apabila pelayar ini keluar belayar, mereka akan tinggal untuk dua tahun di negara ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan pihak pejabat daerah kerana tanpa bantuan mereka kami tidak dapat menjayakan aktiviti seumpama ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu, berkata kawalan efisyen pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) memberi keyakinan keselamatan kepada para pelayar untuk belayar di sepanjang perairan Zon Selamat Timur Sabah.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *