Mayat Warga Asing Terjun Sungai Kampung Sodomon Elak Ditahan Polis Ditemui

Pasukan penyelamat mengangkat mayat warga asing yang ditemui lemas di sungai Kampung Sodomon, Penampang. Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang

PENAMPANG: Pekerja buruh yang dilaporkan hilang ketika terjun ke sungai di Kampung Sodomon, di sini, bagi mengelak ditahan pihak berkuasa semalam, ditemui lemas tengah hari tadi.

Lelaki warga asing berusia 35 tahun itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (Sar) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), jam 12.45 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi Sar yang disambung pagi tadi berjaya menemui mayat lelaki itu yang terapung kira-kira 100 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.

“Mayat lelaki itu kemudian di bawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan dikatakan melarikan diri dengan terjun ke sungai selepas melihat Jabatan Imigresen menjalankan operasi di kawasan pembinaan berhampiran Kampung Sodomon.

OCPD Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim bersama pegawai hadir di lokasi kejadian membabitkan seorang warga asing ditemui lemas di sungai Kampung Sodomon, Penampang. Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang

Menurut saksi, lelaki itu hilang ketika cuba menyeberang sungai sebelum dia menghubungi talian kecemasan bagi melaporkan kejadian itu.

SabahNewsToday