Polis Sabah Rampas Wang Palsu Bernilai R$10 Juta

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (dua dari kiri) menunjukkan not mata wang Brazil dipercayai palsu dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu. -Foto Ihsan Polis Sabah

KOTA KINABALU: Sejumlah 1,000 keping wang tunai disyaki palsu bernilai Real Brazil (BRL) R$10 juta dirampas daripada seorang penumpang feri di Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun, yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke Pulau Nunukan menggunakan feri itu, turut ditahan berhubung penemuan sejumlah besar wang berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass menunjukkan not mata wang Brazil dipercayai palsu dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu. – Foto Ihsan Polis Sabah

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Sejurus ditahan, pemeriksaan dilakukan dan ketika itu di tangannya terdapat satu kotak yang mengandungi 1,000 keping mata wang Real Brazil disyaki dengan keseluruhannya bernilai R$10 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, suspek datang dari Nunukan, Indonesia ke Tawau pada jam 11 pagi hari yang sama untuk urusan jual beli mata wang berkenaan.

“Suspek tiba di CIQ Tawau untuk bertemu seorang lelaki, juga seorang warga Indonesia dengan tujuan untuk menjual mata wang itu pada harga RM20,000.

Foto Ihsan Polis Sabah

“Bagaimanapun, urusan mereka tidak menjadi kerana lelaki itu hanya sanggup membayar RM10,000 dan disebabkan itu, suspek pulang semula ke Pulau Nunukan,” katanya.

Zaini ketika mengulas lanjut, pihaknya percaya wang itu adalah palsu, namun pengesahan lanjut berhubung ketulenannya akan dilakukan di Kedutaan Brazil di Kuala Lumpur.

“Kita yakin lelaki yang ingin membeli wang itu turut mengetahui wang berkenaan palsu kerana tidak mungkin nilai R$10 juta dijual pada harga RM20,000. Hasil siasatan awal mendapati wang berkenaan diperoleh daripada seorang lagi lelaki di Surabaya.

“Ia disyaki palsu selepas sebahagian besar nombor siri pada wang berkenaan didapati sama, manakala tahap ketulenannya tidak dapat disahkan Bank Negara. Bagaimanapun, ia akan dibawa ke Kedutaan Brazil untuk pengesahan lanjut.,” katanya.

Ekoran tangkapan itu, Zaini berkata, lelaki terbabit ditahan reman bermula Selasa lalu hingga esok untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti jaringan operasinya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 489c Kanun Keseksaan kerana memiliki mata wang palsu yang memperuntukan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *