Warga Emas Maut Ketika Cuba Selamatkan Diri Dalam Kebakaran Di Putatan

Pasukan bomba dan polis mengeluarkan mangsa maut daripada lokasi kebakaran di Kampung Lembising, Putatan. Gambar SNT/Ihsan Bomba

PUTATAN: Seorang lelaki warga emas ditemui maut dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh rumah di Kampung Lembising, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 2.50 petang itu, mangsa Sarulai Ompoit @ Jimmy, 86, ditemui berdekatan pintu utama rumah dipercayai cuba menyelamatkan diri namun gagal kerana keadaannya yang uzur.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa seorang diri di rumah manakala ahli keluarga lain keluar bekerja.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 2.53 petang.

Katanya dua jentera dan sebuah lori tangki dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan Kota Kinabalu dengan kekuatan 20 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi, beberapa rumah sudah terbakar dan operasi pemadaman kemudiannya segera dilakukan.

“Api dikawal jam 4.33 petang dan pemeriksaan ke atas sebuah rumah menemui satu mayat berdekatan pintu rumahnya,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kebakaran memusnahkan lima rumah manakala dua buah rumah terbakar 10 peratus.

“Mayat mangsa kemudian dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

SabahNewsToday