Ketua Menteri Lancar Kembara Jalur Gemilang Di Ranau Jumaat Ini

Datuk Peter Anthony mempamerkan tema sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah ketika sidang media pada Rabu.

KOTA KINABALU, 7 Ogos: Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) akan mengadakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah dan Pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Ranau Jumaat ini. 

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony merangkap Pengerusi Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Sabah berkata acara berkenaan akan di adakan di padang Pekan Ranau dan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Tahun lepas kita memilih Daerah Penampang sebagai tempat pelancaran dan tahun ini kita beri peluang kepada daerah ranau menjadi tuan rumah untuk majlis pelancaran ini kerana tahun 2019 adalah tahun melawat Ranau selain, daerah ini menjadi destinasi pelancongan utama di Sabah,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat beberapa kelainan yang akan diadakan semasa pelancaran itu termasuk pemberian sayur secara percuma kepada pengunjung yang hadir pada pelancaran itu.

“Daerah Ranau memang terkenal dengan sayur kubis dan beberapa pihak telah bersetuju untuk menyediakan sayur berkenaan untuk diagihkan kepada pengunjung yang hadir pada pelancaran tersebut,” tambahnya. 

Peter berkata selepas pelancaran itu pelbagai lagi acara yang akan diadakan di seluruh daerah di Sabah dan perbarisan Perarakan Hari Kebangsaan 2019 peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu pada 31 Ogos 2019.

Sehubungan itu, beliau meminta agar orang ramai turut hadir memeriahkan sambutan itu dengan tampil secara kreatif bagi mempelbagaikan lagi sambutan acara Bulan Kebangsaan secara sukarela.

“Saya juga menyeru rakyat Sabah agar sama-sama kibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sebagai menunjukkan rasa bangga dan cinta terhadap negara kita,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *