Suami Isteri Antara Ditahan Positif Dadah

Suami isteri yang ditahan AADK. – Gambar SNT/Ihsan AADK

KENINGAU: Sepasang suami isteri antara suspek penagih dadah yang ditahan Pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau dalam Ops Cegah yang dilaksanakan pada malam Ahad.

Pasangan suami isteri yang masing-masing berumur lingkungan 30-an itu ditahan di rumah kediaman mereka sekitar Keningau.

Antara individu yang ditahan ketika menggunakan dadah. – Gambar SNT/Ihsan AADK

Ketua Pegawai AADK Keningau Azry Golbin @ Azmi berkata kedua-dua suspek ditahan setelah gagal ujian saringan dadah jenis Methamphetamine ataupun syabu.

Sementara itu, katanya sepanjang operasi yang dijalankan pada sebelah malam itu telah berjaya menahan secara keseluruhannya seramai 14 orang suspek yang disyaki penagih dadah.

Kesemua yang ditahan akan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Tambahnya pecahan tangkapan adalah terdiri daripada 11 suspek lelaki dan tiga orang perempuan.

Kesemua suspek yang ditangkap berumur dalam lingkungan 21 hingga 64 tahun.

Dalam pada itu Azry turut menekankan peranan keluarga dan juga ahli masyarakat adalah amat penting dalam menyalurkan aduan berkaitan kegiatan penagihan dadah dalam kalangan anggota keluarga masing-masing.

“Budaya menyembunyikan kegiatan penagihan dalam kalangan anggota keluarga masing-masing bukanlah suatu tindakan yang bijak.

“Malah, ia akan memudaratkan kesihatan dan juga keselamatan ahli keluarga yang lain,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tangkapan yang dibuat oleh pihaknya adalah bertujuan untuk memastikan kesemua suspek penagih dadah terus terikat dengan undang-undang sedia ada di samping bagi membantu dari segi rawatan dan pemulihan agar tidak wujud pergantungan terhadap dadah dalam kehidupan seharian serta bagi memastikan kesemua mereka dapat berfungsi dengan baik di dalam masyarakat.

SabahNewsToday