18 Individu Termasuk Seorang Pengedar Dadah Ditahan Di Tuaran

Antara suspek yang ditahan dalam operasi pembanterasan dadah di Tuaran. Gambar SNT/Ihsan IPD Tuaran

TUARAN: Seramai 18 individu termasuk seorang pengedar dadah ditahan dalam operasi pembanterasan dadah di daerah ini selama seminggu yang berakhir, semalam.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran itu menumpukan beberapa lokasi dikenal pasti menjadi tumpuan penyalahgunaan dadah.

Antaranya kawasan Taman Telipok Ria, Sri Rugading dan Kampung Dungun Timbok.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 14 operasi dan serbuan dilakukan dalam Op Tapis dan Op Sarang.

Katanya hasil keseluruhan serbuan dan operasi itu, polis menahan seorang pengedar, seorang lagi memiliki manakala 16 orang ditahan bagi kesalahan positif dadah.

“Semua suspek yang berusia 23 hingga 40 tahun adalah warga tempatan. Polis turut merampas sebanyak 15.16 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM2,270 mengikut harga dadah semasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di lokasi yang dikenal pasti akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengelak daripada berleluasa di daerah ini.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *