Budak Perempuan 8 Tahun Dicabul Selepas Diumpan Biskut & Telefon Pintar

Gambar Hiasan

LAHAD DATU: Umpan guna biskut dan telefon pintar. Itu taktik lelaki sebelum mencabul kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, di Lahad Datu, Selasa lalu.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa dikatakan pergi ke rumah lelaki berusia 33 tahun itu untuk mencari adik perempuannya sebelum dipelawa masuk bilik dengan alasan akan diberikan biskut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mangsa yang menuruti permintaan suspek kemudiannya diberikan biskut sebelum dibaringkan di atas katil.

Katanya, mangsa kemudiannya diberikan telefon bimbit kononnya untuk melihat gambar suspek bersama isterinya.

“Suspek kemudian mencabul kanak-kanak itu sebelum menyuruhnya pulang. Budak itu terus berlari pulang ke rumah bersama adik perempuannya.

“Mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum dibawa membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, selepas membuat laporan polis, mangsa turut dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, pihak hospital mengesahkan tiada kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

Bagaimanapun, doktor di bahagian Jabatan Obstetrik dan Ginekologi itu mengesahkan terdapat kesan kemerahan di kemaluan mangsa.

“Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan jam 11 malam hari yang sama.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Harian Metro