MOTAC Sedia Kerjasama Bangun Pelancongan Kawasan Gua Madai

KUNAK, 2 Ogos: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersedia memberi kerjasama dengan pemilik atau pewaris sarang burung Gua Madai di sini untuk pembangunan pelancongan  Gua Madai.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, antara cadangan pembangunan itu adalah mendirikan kemudahan inap desa atau chalet dalam kawasan Gua Madai.

“Tempat ini boleh dibangunkan sebagai satu tarikan pelancong tetapi ianya tertakluk kepada keputusan pewaris atau pemilik Gua Madai sama ada bersetuju atau tidak.

“Kalau mereka ada keperluan dan permintaan untuk sebahagian daripada kawasan ini dibangunkan untuk inap desa atau chalet supaya pelancong boleh merasai pengalaman sewaktu musim menuai sarang burung, kementerian sedia membantu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja rasmi di Gua Madai di sini, hari ini.

Menurut Mohamaddin, Gua Madai adalah antara destinasi pelancongan menarik di Sabah.

“Pelancong perlu merasai pengalaman sendiri ke tempat ini terutamanya sewaktu musim menuai, boleh tengok orang menuai sarang burung. Selain, Madai Baturong Forest Reserve seluas 3,456.5 hektar ini turut menempatkan banyak gua batu kapur antaranya Gua Tesob Madai yang mengandungi Lukisan Gua,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pemilik serta pewaris kawasan itu sama ada komuniti berkenaan sanggup untuk mengeluarkan sedikit belanja membangunkan chalet atau inap desa.

“Kerajaan only waiting for this (hanya menunggu sahaja ini), ada permintaan kita akan bekerjasama, mereka tidak akan rugi, selain dapat hasil tuai sarang burung, mereka juga boleh jana pendapatan dalam sektor pelancongan,” katanya lagi.

Sarang burung di Gua Madai dituai tiga kali setahun dengan sekali tuai sehingga tiga atau empat tan metrik yang boleh mencecah jutaan ringgit.

Sementara itu, ketika berucap Mohamaddin berkata, Gua Madai adalah kawasan hutan simpan yang penuh dengan kesan sejarah, kehijauan flora serta fauna yang indah dan ekoran itu perlu dipelihara.

“Kita akan sama-sama “EXPERIENCE MADAI“ atau “ALAMI MADAI”, dan pengalaman ini kita terjemahkan dalam bentuk yang boleh memelihara dan memulihara warisan ratusan tahun komuniti Idahan ini,” katanya.

Menurut Mohamaddin, pemuliharaan kawasan Gua Madai itu secara langsung mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi yang baharu untuk penduduk di kawasan berkenaan.

“Kita boleh ambil tourist guide dari kalangan penduduk berhampiran Gua Madai, kita boleh buka jungle trekking, buka restoran menyajikan masakan kaum Idahan, buka pusat kraftangan, selain mewujudkan Cultural Research Centre untuk tarikan pelancong dalam dan luar negara,” katanya lagi.

Mohamaddin berkata, pada akhirnya yang utama adalah hasrat Kerajaan Negeri juga supaya kawasan hutan simpan di Gua Madai ini dapat dikekalkan kesinambungannya untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *