Sindiket Palsu Dokumen Pengenalan Diri Cabul Kedaulatan Negara – Ewon

KOTA BELUD, 30 Julai – Sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri adalah satu jenayah pencabulan kedaulatan negara, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap dalang terlibat sindiket itu termasuk dalam kalangan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana ia bukan sahaja memburukkan imej penjawat awam malah melanggar undang-undang negara.

“Pihak polis perlu menyiapkan kertas siasatan supaya kes ini dibawa ke muka pengadilan dan semua individu terlibat dalam sindiket ini dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya selepas merasmikan Hari Keluarga UPKO Kota Belud di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan polis membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri apabila tertangkap tiga lelaki termasuk seorang pegawai pendaftar JPN di Semporna.

Ketiga-tiga suspek kini direman mulai Rabu lepas bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ewon berkata, tanggungjawab warga Sabah dalam memberi kerjasama menjaga kedaulatan negeri dan negara juga amat penting, dengan memastikan persekitaran kediaman dan perusahaan ekonomi mereka bebas daripada kehadiran pendatang tanpa izin (PATI).

Masalah PATI di Sabah memerlukan penyelesaian komprehensif dan berkesan kerana kebanjiran PTI yang semakin membimbangkan dikhuatiri menjadi bom jangka di negeri ini sekiranya isu kompleks itu tidak ditangani dengan baik, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *