Polis Marin Tahan Lelaki Indonesia, Rampas Pelbagai Barangan

PPM menahan seorang lelaki warga Indonesia bersama pelbagai barangan runcit termasuk perhiasan dalam ‘Op Gelora’, di kawasan perairan laut Haji Kuning, Tawau. – Foto Ihsan PPM

TAWAU, 30 Julai – Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah menahan seorang lelaki warga Indonesia serta merampas pelbagai jenis barang bernilai RM12,490 dalam operasi Op Gelora di laut Haji Kuning dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohamad Pajeri Ali berkata suspek berusia 35 tahun itu ditahan di dalam sebuah bot penambang dari arah Pulau Sebatik menuju ke Tawau dan dijuragani seorang lelaki warga Indonesia.

PPM menahan seorang lelaki warga Indonesia bersama pelbagai barangan runcit termasuk perhiasan dalam ‘Op Gelora’, di kawasan perairan laut Haji Kuning, Tawau. – Foto Ihsan PPM

“Pemeriksaan ke dalam bot berkenaan menemukan pelbagai barang iaitu topi (230 unit), rantai kunci (888 unit), sapu tangan (58 helai), pengikat rambut (72 unit), subang telinga (1,120 biji), gelang Nikita (72 utas), skarf (120 helai), topeng muka (120 unit), pelekat motosikal (17 unit) serta pelekat ‘goodfix’ (lima gulung).

“Pemilik barang iaitu penumpang bot berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen bagi membawa masuk kesemua barangan itu disyaki dari Indonesia untuk pasaran Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata anggota PPM menerangkan kesalahan kepada suspek dan suspek mengakui kesalahannya.

Menurut Mohamad Pajeri, suspek serta barang rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 138 Akta Kastam 1967.

PPM menahan seorang lelaki warga Indonesia bersama pelbagai barangan runcit termasuk perhiasan dalam ‘Op Gelora’, di kawasan perairan laut Haji Kuning, Tawau. – Foto Ihsan PPM

BERNAMA