PGA Rampas 7,425 Karton Rokok Seludup Untuk Pasaran Pantai Barat Sabah

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas (tiga dari kiri) bersama Pegawai Memerintah Batalion 17 PGA Lahad Datu, Asisten Superintendan Azman Madusiman menunjukkan rokok yang dirampas suspek.

TAWAU, 29 Julai: Taktik sindiket penyeludupan rokok untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan 7,425 karton rokok dalam timbunan gulungan plastik di ruangan belakang sebuah lori, gagal apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 Lahad Datu yang bertugas di (Tempat Pemeriksaan Jalan (RCP) Kalabakan, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang merupakan pemandu lori berkenaan bersama pembantunya seorang lelaki warga Indonesia, 44, ditahan membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas (tiga dari kiri) bersama Pegawai Memerintah Batalion 17 PGA Lahad Datu, Asisten Superintendan Azman Madusiman menunjukkan rokok yang dirampas suspek.

Beliau berkata lori itu ditahan pada pukul 1.55 pagi tadi selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan, dan walaupun pemeriksaan awal hanya menemukan 36 gulungan plastik besar yang diletakkan di tepi-tepi lori, namun selepas pemeriksaan rapi oleh anggota PGA yang menyelongkar gulungan plastik berkenaan, 297 bungkusan plastik hitam ditemui.

“Gulungan plastik itu didapati mengandungi 7,425 karton rokok premium dari negara jiran yang dianggar bernilai RM50,000 yang disyaki tidak mempunyai kelulusan pihak Kastam,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar berhubung rampasan rokok berkenaan, hari ini.

7,425 karton rokok dan lori kontena jenis Isuzu dirampas untuk disiasat dibawah Akta Kastam 1967.

Katanya, kedua-dua suspek itu dipercayai dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Keningau dan rokok itu dibawa untuk pasaran di pantai barat Sabah.

Sementara itu Peter Umbuas berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 44 tahun, yang cuba memberi rasuah wang tunai RM2,000 kepada anggota PGA supaya membebaskan lori berkenaan.

“Lelaki ini menyerahkan satu keping sampul putih kepada salah seorang anggota bertujuan untuk membebaskan pemandu serta kelindan lori yang ditahan. Kita percaya pemberi rasuah ini sudah awal bergerak dan melepasi RCP Kalabakan tetapi berpatah balik selepas menyedari lori membawa rokok seludup itu ditahan,” katanya.

Katanya pemberi rasuah itu kemudiannya ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala pemandu lori dan pembantunya direman selama empat hari.

Turut dirampas dalam kejadian itu ialah lori yang digunakan untuk membawa rokok seludup serta sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki yang cuba merasuah penjawat awam itu.

BERNAMA