KOTA KINABALU: Pejabat Ketua Menteri Sabah hari ini mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan berita tidak benar yang dikaitkan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kononnya beliau meluluskan lesen sabung ayam di negeri ini.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Jo-Anna Sue Henley Rampas, berkata tindakan menyebarkan berita tidak sahih akan mengeruhkan keadaan selain mencemarkan reputasi pentadbiran kerajaan negeri dan negara.
“Kenyataan rasmi ini bertujuan menjawab kekeliruan dan menepis sekeras-kerasnya gambar viral yang sudah diedit oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan Ketua Menteri Sabah meluluskan lesen sabung ayam di Sabah.
“Ketua Menteri Sabah tidak pernah meluluskan mana-mana lesen perjudian dan sabung ayam di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas satu gambar Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri bersama Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob; Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jenifer Lasimbang dan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah (PNS), Wong Vui Yin disebarkan dengan keterangan yang menyatakan Mohd Shafie meluluskan lesen sabung ayam.
Jo-Anna berkata, gambar berkenaan sudah diedit dengan meletakkan logo PNS, Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Jabatan Pendaftaran Negara.
“Gambar yang sebenar diambil ketika sidang media Ketua Menteri bersama dengan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah dan Pengarah PNS sempena Majlis Perasmian Bangunan PNS Cawangan Tanjung Aru pada 25 Julai lalu,” katanya.
Berita Harian