Ketua Wira Warisan Sepanggar nafi keluar kenyataan bantah pelantikan NC UMS

KOTA KINABALU: Ketua Wira Warisan Sepanggar, Jumardi Lukman menafikan laporan berita portal Sabahkini2.com yang menyatakan beliau membantah pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) baharu.

Jumardi berkata berita bertajuk Pelantikan Presiden MACMA ‘orang kuat’ IKRAM sebagai Naib Canselor UMS ditentang Warisan yang disiarkan ada 26 Julai itu turut menyatakan beliau membantah pelantikkan berkenaan sekaligus tidak menyokong inspirasi Warisan.

“Saya menafikan segala tohmahan dan fitnah dilemparkan kepada saya serta Parti Warisan Sabah khususnya Sepanggar yang menyatakan saya menentang segala keputusan berkaitan pelantikan itu baru-baru ini.

“Oleh itu, kita sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini agar dapat membersihkan nama mahupun imej saya termasuklah imej Warisan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Karamunsing, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jumardi meminta pihak polis menyiasat kejadian terbabit selain siasatan ke atas portal Sabahkini2.com berikutan menulis berita tidak benar serta berunsur fitnah.

Semalam, SabahNewsToday melaporan bahawa Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dikhabarkan bakal dilantik menjadi Naib Canselor UMS berkuatkuasa 30 Julai ini.

Dr Taufiq, 51, berasal dari Kota Kinabalu akan menggantikan Profesor Datuk Dr D Kamaruddin D Mudin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 27 Julai.

Sabah News Today turut difahamkan pelantikan Dr Taufiq bagi tempoh tiga tahun sehingga 29 Julai 2022 telah dipersetujui oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek. – SabahNews Today