Wanita Warga Asing Miliki 5.94 Kilogram Syabu Ditahan Di Manggatal

Zaini (dua, kiri) bersama anggotanya menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dalam serbuan sebuah rumah di Bandar Serra Menggatal. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga asing disyaki keldai dadah ditahan bersama syabu bernilai RM275,000 di sebuah rumah di Bandar Sierra, Manggatal, di sini semalam.

Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu, wanita berusia 32 tahun yang berasal dari Filipina itu ditemui seorang diri dipercayai sedang menunggu pembeli dadah berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, hasil pemeriksaan di bahagian dapur berjaya menemui satu beg galas mengandungi kotak berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan lima lagi bungkusan plastik berisi syabu di dalam kereta Proton Persona di rumah suspek.

“Dua bungkusan disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan, satu bungkusandi bawah tempat duduk pemandu manakala dua lagi di bawah pelapik tayar bonet belakang kenderaan berkenaan,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, di sini hari ini.

Zaini berkata, jumlah keseluruhan syabu yang berjaya dirampas dianggarkan seberat 5,947.27 gram bernilai RM275,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, wanita berkenaan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Zaini berkata, dalam soal siasat dijalankan, suspek mendedahkan memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki warga asing di Menggatal.

“Kita percaya dadah ini adalah untuk pasaran tempatan dan siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengesan pembekal dadah berkenaan,”katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *