Mayat Kanak-Kanak Ditemui Terapung Di Sungai Dipercayai Jatuh Dari Jambatan Gantung Rosak

Lokasi kejadian dimana mangsa, Angelliena Julian, 6, terjatuh dari jambatan gantung dalam kejadian di Kampung Porotawoi, Pekan Tongod, semalam. NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh ke sungai ketika menggunakan jambatan gantung yang rosak di Kampung Porotawoi, Pekan Tongod semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Angelliena Juilan, 6, dikatakan terus tenggelam di dasar sungai sebelum ditemui terapung oleh penduduk kampung yang membantu mencarinya.

Rosdianti Titi di sisi jasad anaknya, Angelliena Juilan yang maut terjatuh dari jambatan gantung dalam kejadian di Kampung Porotawoi, Pekan Tongod, semalam. NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

Bapa mangsa, Juilan Razali, 31, berkata beliau berada di tempat kerja ketika kejadian berlaku dan terkejut apabila isterinya menghubungi dan memaklumkan insiden menimpa anak mereka.

Katanya, dia diberitahu beberapa rakan anaknya melihat Angelliena terjatuh melalui lubang di jambatan yang rosak.

“Isteri menghubungi saya maklumkan kejadian ini dan saya terus bergegas pulang ke kampung sebelum ke klinik kesihatan.

“Namun, apabila saya sampai, anak kedua saya sudah tiada. Kami tidak menyalahkan mana-mana pihak dan kami reda dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu, di sini hari ini.

Juilan berkata, ketika kejadian, anaknya itu dalam perjalanan pulang dari pra sekolah bersama rakan sekolahnya seperti biasa.

Katanya, ketika ditemui, Angelliena masih memakai beg sekolah kedap udara dan percaya itu mungkin menyebabkan mayat anaknya timbul dengan cepat.

“Saya diberitahu, anak saya ditemui kira-kira tujuh meter dari lokasi dia terjatuh selepas tenggelam hampir 45 minit,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosdianti Titi, 28, yang masih bersedih dengan kejadian itu berkata, dia amat terkilan dengan kejadian itu.

Katanya, sebaik diberitahu kejadian itu, dia terus berlari ke sungai untuk mencari anaknya.

“Namun sebaik sampai, saya lihat Angelliena sudah diletakkan di dalam perahu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Tiada apa yang boleh saya lakukan walaupun kami menghantarnya ke klinik, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Rosdianti berkata, mangsa adalah anak kedua dari tiga beradik dan amat rapat dengannya.

Katanya, anak sulungnya berusia, sembilan tahun manakala anak bungsu baru berusia lapan bulan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *