TAMPARULI, 23 Julai- Replika ikan air tawar yang telah siap dibina berhampiran trek joging di tebing Sungai Tamparuli, di sini, menjadi satu lagi daya tarikan baharu pelancong untuk berkunjung ke daerah ini.
Replika kira-kira tiga meter panjang direka menggunakan konkrit itu diletakkan di atas sebatang tiang konkrit setinggi lima meter dengan dikelilingi beberapa bangku kecil untuk kemudahan pengunjung duduk bersantai dan berehat selepas beriadah di situ.
Pemilihan tebing sungai sebagai lokasi menempatkan replika ikan itu bukan hanya bersesuaian dengan kawasan tersebut yang diwartakan sebagai kawasan Tagal sejak 2011, malah lokasi berkenaan juga adalah tumpuan ramai melakukan riadah setiap hari.
Tagal adalah satu sistem bagi mengawal tangkapan hasil sungai diamalkan penduduk setempat dalam usaha memulihara ekosistem sungai demi memastikan sumber ikan air tawar tidak kehabisan.
Difahamkan, replika ikan air tawar itu dibina hasil usaha Kelab Tamparuli Sabah (KTS) yang turut mengusahakan kantin kecil berhampiran trek joging di kawasan sama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim memuji usaha KTS dengan kerjasama Pejabat Daerah Tamparuli kerana memberi komitmen membantu menambah kemudahan untuk kegunaan penduduk di daerah tersebut termasuk membina replika ikan berkenaan.
“Adalah menjadi hasrat saya sejak sekian lama untuk menyediakan banyak kemudahan terutama pusat riadah kepada penduduk Tamparuli, yang akhirnya membuahkan kejayaan apabila trek joging berhampiran sungai itu menjadi kenyataan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Jahid turut berharap hasrat memasang lampu sepanjang laluan trek joging dan membina tempat latihan regangan dapat direalisasikan kelak sebagai usaha melengkapkan lagi kawasan tersebut dengan pelbagai kemudahan demi keselesaan dan keselamatan pengguna.
BERNAMA