Dua Indivitu Terjun Ke Laut, APMM Rampas 3 Kilogram Ikan Bersama Peralatan Bom Ikan Di Semporna

Antara peralatan mengebom ikan yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kawasan perairan Pulau Bait di Semporna. – Gambar MARITIM Malaysia

SEMPORNA: Dua lelaki nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Pulau Bait, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 9 pagi itu, dua suspek terbabit bagaimanapun gagal dikesan apabila mereka melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran pulau berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan, berkata bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas rutin terdengar bunyi letupan sebelum berjaya mengesan sebuah bot pam menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan terbabit.

Beliau berkata, anggota bot ronda Maritim Malaysia kemudiannya bertindak mengejar bot dikendalikan suspek terbabit sebelum kedua-duanya melarikan diri ke kawasan cetek dan bertindak terjun ke laut.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pam menemui peralatan mengebom ikan bersama lebih tiga kilogram ikan disyaki dibom,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Norrimi berkata, bot bersama ikan dan enjin pam yang dianggarkan bernilai RM5,000 ditunda ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, beliau berkata Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan jenayah di perairan Semporna.

“Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

Berita Harian