Kerap Pantau Untuk Memastikan Projek Disiapkan Ikut Tempoh Ditetapkan

Peter mendengar taklimat dari Pegawai Jabatan Kerja Raya- FOTO BERNAMA

RANAU, 22 Julai: Kementerian Pembangunan Infastruktur Sabah (KPI) akan sentiasa memantau atau memastikan agar semua projek yang dilaksanakan di bawah kementerian itu dapat disiap dalam tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu,  Menterinya Datuk Peter Anthony bersama beberapa agensi di bawahnya seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Air Sabah telah melakukan siri lawatan kerja ke beberapa tapak projek di seluruh Sabah hari ini sehingga esok.

“Selain untuk memastikan projek yang dilaksanakan di bawah kementerian ini dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Siri lawatan kerja ini juga bertujuan untuk mendapatkan input daripada wakil rakyat dan masyarakat di kawasan yang kita lalui mengenai keperluan projek yang boleh dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Paginatan Datuk Abidin Madingkir, di sini hari ini.

Terdahulu, Peter dan rombongannya telah melawat Projek Pembinaan Cerun di Kilometer 83.9 Jalan Kota Kinabalu-Ranau.

Beliau turut dijadualkan melawat beberapa projek yang sedang dilaksanakan di Telupid, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Tawau, Kalabakan, Maliau Basin dan Nabawan.

BERNAMA