Singgah Sabah Selepas 4 Tahun Keliling Dunia, Lelaki Ini Menghabiskan RM400 Sebulan Demi Mengajar Anak-Anak Bajau laut”

Sudah jadi lumrah bagi anak muda berlumba-lumba untuk memiliki kerjaya dan menjalani kehidupan yang stabil.

Namun masih ada individu yang secara sukarela melakukan kerja-kerja sosial untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Menjadi pengembara sepenuh masa adalah pilihan buat Muhammad Khairul Jamain setelah hampir empat tahun mengelilingi dunia dengan melakukan kerja-kerja sosial.

Antara yang dilakukan Muhammad Khairul atau mesra disapa Khairul adalah berkampung selama empat bulan di Lautan Celebes, Semporna bagi menyumbang ilmu kepada komuniti Bajau Laut.

“Saya mula mendekati komuniti Bajau Laut pada Mac tahun ini dan mengajar mereka secara perlahan-lahan selepas dua bulan bersama mereka.

“Dalam seminggu, dua atau tiga kali saya bersama rakan akan ke tempat mereka menaiki bot kecil dan kebiasaannya perjalanan ambil masa antara 30 hingga 50 minit.

“Setiap bulan saya akan keluarkan kos sebanyak RM400 bagi pengangkutan pergi dan balik.

“Saya tumpang rumah salah seorang komuniti untuk mengajar pada waktu pagi dan lebih mengajar mereka tentang soal kehidupan dahulu seperti melukis, bercerita dan kadang-kala menyanyi,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Pemuda berusia 26 tahun ini memberitahu pada awalnya proses pengajaran agak sukar kerana mereka kurang didedah tentang kepentingan pendidikan.

Suku pribumi Bajau Laut

Namun ia bukanlah penghalang buatnya untuk terus menyumbangkan tenaga kepada komuniti itu yang merupakan suku pribumi ketiga terbesar di Sabah dan menetap di timur negeri berkenaan di mana aktiviti harian mereka adalah menternak, bertani dan menangkap ikan.
Baca lebih lanjut di

Tambah Khairul, komuniti Bajau Laut yang diajarnya berusia dalam lingkungan lima ke 15 tahun dan mereka sememangnya menunjukkan minat untuk belajar tetapi jelas tidak diberi peluang dan dipandang rendah dalam kalangan masyarakat.

“Ada yang mahu belajar tapi selepas 15 minit, dia berlari pergi tangkap ikan. Ada yang bergaduh dan tidak tahu apa-apa tetapi ada juga yang takut untuk pegang pensil sebab tidak tahu kegunaannya.

“Pada awalnya mereka tidak mahu bercakap dengan saya, tapi saya terus bersembang walaupun tidak mendapat respons dan lama kelamaan mereka mula berbual dengan saya.

“Dulu masa mula-mula nak mendekati mereka, hampir setiap hari saya datang ke pulau walaupun mereka tak layan saya dan kini mereka mampu terima saya.

“Kadang kala saya bawa buah tangan kepada mereka,” kata pemuda berasal dari Sitiawan, Perak ini.

Namakan anak Khairul

Bagi memudahkan komunikasi sesama mereka, kedua-dua pihak menggunakan bahasa Melayu baku.

Menceritakan kisah dirinya, Khairul yang merupakan pengembara sepenuh masa sebenarnya pernah menjejakkan kaki di Semporna buat pertama kali pada 2017.

Kini hampir empat bulan berada di Semporna, Khairul banyak mengenali budaya masyarakat Bajau Laut dan mahu terus menyumbang kepada komuniti berkenaan.

“Bagi saya, kerja sosial bukan untuk mengejar pangkat atau duit, cukuplah sekadar senyuman atau ucapan terima kasih dari mulut mereka.

“Tambah pula kali ini salah seorang komuniti Bajau Laut bernama Kamaliti menamakan anaknya ‘Khairul’ sempena nama saya… jujur saya memang terharu dan menghargainya.

“Paling manis apabila setiap kali saya datang, anak-anak Bajau Laut ini akan berlari ke jeti sebaik nampak kelibat saya dalam bot, mereka memang menanti kehadiran saya,” katanya.

Sebahagian komen oleh netizen pada posting yang dimuat naik Khairul di Facebook miliknya.

Malahan, Khairul juga merancang untuk membuka sekolah atau pondok belajar untuk mereka dan mahu mengajar mereka menjana pendapatan.

Selain Semporna, Khairul juga pernah membantu komuniti di Bagan Datuk dan Sandakan bergantung kepada keperluan tempat berkenaan.

Selama empat tahun mengembara mengelilingi dunia,  Khairul melakukan kerja sosial bagi membantu masyarakat yang memerlukan bukan sahaja di Malaysia, juga di negara seperti Afrika, Kenya dan Jepun.

Khairul mula berjinak dalam aktiviti kerja sosial sejak 2012. Posting yang dimuat naik Khairul di Facebook miliknya mendapat perhatian netizen sehingga memperoleh hampir 800 perkongsian.

mStar