Tambunan Berpotensi Besar Bangunkan Industri Halia

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal ketika sidang media di Program Majlis Ramah Mesrta di Tambunan

TAMBUNAN, 20 Julai: Daerah Tambunan berpotensi besar untuk membangunkan industri halia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah melihat perkara itu dan memperbesarkan industri halia sedia ada di kawasan berkenaan.

“Kita tahu Tambunan merupakan salah satu daerah pengeluar halia di negeri ini. Oleh itu kita mahukan ia dijadikan satu industri agar ia dapat dipasarkan sehingga ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kampus baharu Kolej Komuniti Tambunan, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan industri berkenaan dapat dibangunkan untuk mempertingkatkan pendapatan penduduk kampung yang selama ini menanam halia di daerah berkenaan.

“Apabila industri ini ada, maka hasil bukan sahaja dipasarkan di Sabah tetapi di serata dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata Kolej Komuniti di Sabah adalah sangat relevan kerana ia menjadi pemangkin dan peneraju pembangunan modal insan dan teknologi maklumat.

“Peranan Kolej Komuniti menyokong usaha kerajaan negeri bagi memastikan pasaran kerja di Sabah bakal dipenuhi oleh modal insan atau graduan yang mempunyai kemahiran yang diiktiraf oleh industri,” kata beliau.

Terdahulu, Mohd Shafie melancarkan majlis pecah tanah di tapak pembinaan Mahkamah Anak Negeri Tambunan yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Katanya, mahkamah yang menelan belanja RM6 juta itu dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk kampung bagi menyelesaikan pertikaian tertentu tanpa mengganggu urusan di pejabat daerah.

BERNAMA